Wednesday, April 2, 2008

PAKATAN RAKYAT MENJADI AGENDA UTAMA UNTUK RAKYAT

aziiM - "Anti Zalim Movement"

KENYATAAN PIMPINAN PARTI PKR, DAP dan PAS

Pimpinan tertinggi parti-parti PKR,DAP dan PAS hari ini telah mengadakan mesyuarat sebagai lanjutan daripada mesyuarat yang telah diadakan pada 18 Mac 2008.

Mesyuarat hari ini dihadiri antara lain oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB En Lim Kit Siang, YB Dato Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang dan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada mesyuarat hari ini kami telah mencadangkan untuk memantapkan lagi kerjasama ketiga-tiga parti ini atas nama PAKATAN RAKYAT. Nama ini telah dicadangkan dan akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan pimpinan masing-masing dalam masa terdekat ini.

Pakatan Rakyat juga berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Dengan keputusan pilihanraya yang lepas, kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan nantinya dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat.

Bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar, wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008.

Kami juga memperkemas dan memantapkan struktur Pakatan Rakyat dengan diwujudkan di bawah Majlis Pimpinan yang terdiri daripada ketua-ketua tiga parti, sebuah Sekretariat Bersama yang akan diwakili oleh tiga pimpinan daripada setiap parti. Sekretariat Bersama ini telah ditugaskan untuk membina asas dan kerangka pakatan untuk disahkan oleh Majlis Pimpinan nanti.

YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail
Dato’ Seri Anwar Ibrahim
YB Lim Kit Siang
YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

AZIIM: Semoga Allah mempermudahkan dan memberkati pakatan ini. Amin. Apa yang kami harapkan dari pakatan ini ialah:

1. Ianya terhasil dari kesedaran yang mendalam tentang betapa pentingnya pakatan ini untuk rakyat dari semua parti yang terlibat (PAS, PKR dan DAP buat masa ini) sehingga menimbulkan keyakinan penuh bahawa BN wajar diganti dengan Pakatan Rakyat ini.

2. Pakatan sebenarnya amat sukar untuk direalisasi jika semua parti tidak mahu mencairkan beberapa perkara yang munasabah dalam kesepakatan ini. Semoga melalui konvension yang bakal diadakan ketiga parti ini dapat mendalami lebih jauh erti pengorbanan dalam sebuah pakatan.

3. Lebih berat lagi untuk mempertahankan pakatan dan meningkatkan mutu pakatan ini sehingga mampu mengganti BN di bumi Malaysia. Inilah sejarah yang ditempa oleh pimpinan BA dan penyokongnya bagi kepentingan rakyat sehingga anak cucu akan merasai nikmatnya nanti. Semoga pakatan ini akan menyapu bersih kotoran dari sistem rasuah terancang, kedegilan penjahat politik, perompak harta dan projek rakyat, penipu negara sehingga Malaysia baru yang aman, makmur dan berkebajikan akan tercapai.

Semoga Allah panjangkan umur pemimpin pakatan ini dan menerima amal mereka selama ini.

No comments: